Saturday, August 14, 2010

20 PENYELEWENGAN SKANDAL PKFZ

Pasukan Khas yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan untuk menyiasat skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) mendapati bahawa wujudnya kes penipuan (fraud case) yang menelan RM 1.64 bilion dalam skandal PKFZ, dan orang yang terbabit masih bebas sehingga kini, tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Demikianlah pendedahan bekas Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat (gambar kanan) yang disingkirkan semasa kabinet dirombak pada 1 Jun 2010.  Malah, Ong Tee Keat selanjutnya membongkarkan bahawa kontraktor utama PKFZ, Syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang dikuasai ahli parlimen Bintulu-BN, Tiong King Sing telah menuntut RM1.64 bilion daripada kerajaan sebelum projek ini dimulakan.

Sebanyak tujuh laporan disediakan oleh pasukan khas dan jawatankuasa yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan, dan kesemuanya masih belum didedahkan sehingga kini.  Bagaimanapun, tiada kesimpulan dan tindakan susulan, termasuk mendakwa pihak yang terlibat dan menipu, setelah Pasukan Petugas Khas (Super Task Force) yang ditubuhkan kabinet mengambil alih tugas siasatan PKFZ ini.  Malah, tiada perbincangan dalam kabinet berhubung laporan Pasukan Petugas Khas, menurut bekas Menteri Pengangkutan ini.

Seandainya dakwaan laporan pasukan khas oleh Kementerian Pengangkutan tersebut adalah benar, maka kerajaan harus mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menuntut wang tersebut daripada pihak berkenaan, malah menghalang wang itu daripada mengalir ke dalam akaun kontraktor tersebut secara beransur-ansur, tegas Ong Tee Keat.

"Kesemua ini wang titik peluh rakyat," tekan bekas Presiden MCA ini dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 15 Jun 2010 di pejabatnya di Padan Jaya.  Ini adalah kali pertama pegawai kerajaan terbabit tampil mengesahkan kandungan dalam tujuh laporan yang disediakan pasukan khas dan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan.


Sebelum ini, The Straits Times yang mendakwa dirinya telah meneliti kandungan terperinci laporan tersebut mendedahkan bahawa beberapa orang pegawai kerajaan disenaraikan sebagai "possible conspirator", antaranya bekas Menteri Pengangkutan Chan Kong Choy, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Tiong King Sing (yang menguasai KDSB), bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), OC Phang, dan sesetengah pengarah dalam LPK.  Namun demikian, antara nama yang tersenarai, hanya OC Phang (gambar kiri, wanita di kanan) sahaja yang didakwa ke mahkamah setakat ini.

Selain itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) KDSB, Steven Abok; Pengurus projek, Law Jenn Dong dan Bernard Tan Seng Swee dari syarikat perunding BTA Architect turut didakwa atas tuduhan menipu, dengan angka yang terlibat RM122.267 juta dan RM5.41700 juta.

Namun, Ong Tee Keat mengesahkan bahawa beberapa orang disebut namanya dalam laporan pasukan khas oleh Kementerian Pengangkutan, dan "orang yang terbabit" semestinya lebih daripada empat orang yang didakwa di atas.

Selok belok siasatan PKFZ
Ketika ditemuramah MerdekaReview, Ong Tee Keat mengimbas selok belok penyiasatan skandal ini ketika beliau menerajui Kementerian Pengangkutan.  Ong Tee Keat melantik badan bebas, PricewaterhouseCoopers (PWC) untuk menyiasat skandal PKFZ pada Oktober 2008, yang mana laporan auditnya diumumkan pada 28 Mei 2009.

Seterusnya, Ong Tee Keat (gambar kanan) menubuhkan sebuah pasukan khas dan dua jawatankuasa yang baru pada 10 Jun 2009.  

Pasukan khas ditugaskan untuk melanjutkan siasatan terhadap 20 penyelewengan yang disenaraikan dalam laporan audit PWC,.

Satu jawatankuasa pula menumpukan siasatan terhadap keputusan yang dilakukan LPK dan penyelewengan yang tertunggak selama ini.  

Satu lagi jawatankuasa ditugaskan untuk menyediakan rancangan bagaimana PKFZ boleh dibangunkan semula.

"Saya memberi tempoh dua bulan kepada mereka untuk menyiapkan tugas ini.  Selain satu jawatankuasa, dua daripadanya berjaya menyediakan laporan lengkap pada 10 Ogos, seperti yang ditetapkan.  Pasukan khas dan jawatankuasa yang dianggotai elit daripada pelbagai bidang ini telah menyediakan tujuh laporan, dan saya cuma memberi satu kenyataan bertulis pada ketika itu."

Ong Tee Keat menjelaskan, beliau tidak mendedahkan laporan ini kerana hasil siasatan ini bakal menjadi bukti penting untuk Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).  Setelah mendapat nasihat daripada peguam, Ong Tee Keat memilih untuk tidak mendedahkan laporan ini pada ketika itu, atas pertimbangan unit berkenaan belum membuka fail siasatan, dan beliau tidak mahu dirinya disaman.

20 penyelewengan
Bagaimanapun, beliau mendedahkan bahawa tujuh laporan tersebut menunjukkan bahawa terdapat maklumat yang cukup untuk membuktikan penipuan berlaku dalam skandal PKFZ.  Kontraktor yang bertanggungjawab telah menuntut RM1.64 bilion daripada kerajaan sebelum projek bermula.  Siasatan ini dilakukan berdasarkan 20 penyelewengan yang tersenarai dalam laporan audit PWC, dan angka penyelewengan mungkin lebih tinggi daripada laporan PWC.

"PWC cuma menyiasat dari segi akaun.  Tetapi anggota pasukan khas dan jawatankuasa terdiri daripada ahli profesional, yang masak dengan selok belok dalam bidang ini.  Mereka lebih mengetahui sama ada penyelewengan berlaku dalam bidang tersebut," kata Ong Tee Keat.


Demikianlah 20 penyelewengan yang tersenarai dalam laporan siasatan PWC:

1. Cadangan pembelian tanah diluluskan oleh kabinet, tetapi cadangan pembangunan yang menyusul kemudian tidak dibentangkan dalam kabinet untuk mendapat kelulusan.


2. LPK tidak memberitahu kabinet dengan segera, bahawa LPK tidak mampu untuk menanggung kos projek pembangunan ini melalui self-funding.


3. Pengarah LPK tidak menjalankan tugas pemantauan, mengikuti perkembangan sama ada projek terlaksana sebagaimana yang dirancangkan.

4. Tiada rundingan untuk mendapatkan pandangan Peguam Negara, dan sesetengah peraturan daripada Kementerian Kewangan tidak dipatuhi.

5. Mungkin melibatkan konflik kepentingan, kerana sesetengah orang/unit yang terbabit mempunyai hubungan dengan tanah atau KDSB sebelum ini.

6. Faedah pinjaman yang dikenakan Kementerian Kewangan telah mengakibatkan kos PKFZ melonjak dari RM4.947 bilion kepada RM7.453 bilion.  Kos akan melambung kepada RM12.453 bilion, melainkan pinjaman daripada Kementerian Kewangan ini dirombak semula.

7. Seandainya LPK mematuhi cadangan Kementerian Kewangan, dengan mengeluarkan bon jaminan kerajaan, dan melaksanakan pembangunan secara berperingkat, maka financing cost boleh dikurangkan.

8. Tanah ditukar tangan dengan harga istimewa yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

9. KDSB mungkin mengenakan faedah yang berlebihan daripada LPK, antara RM51 juta hingga RM390 juta.

10. DA3 (Development Agreement) bukanlah satu kontrak dengan angka tetap, maka KDSB tidak boleh mengenakan kadar bayaran profesional yang tetap.

11. RM 95.256 juta dikutip daripada LPK sebagai kos asas, tetapi tidak disenaraikan dalam DA.

12. Akaun terakhir dalam DA3 tidak menolak bahagian yang mana tiga projek pembinaan yang belum disiapkan.

13. Belumpun plan diberi kata muktamad, kontrak yang bernilai RM1 bilion telah diberikan kepada KDSB.

14. LPK terlalu bergantung kepada KDSB, menyebabkan LPK tidak memperolehi rancangan projek yang memadai nilainya.

15. Pengurusan dan kawalan perancangan yang sangat lemah.

16. Hanya sebahagian bangunan memperolehi certificate of fitness, dan defect liability period telah berlalu.

17. LPK dijangka mengalami defisit tunai pada tahun 2012, dan gagal menjelaskan hutang daripada Kementerian Kewangan.

18. Surat sokongan yang dibenarkan Kementerian Kewangan mungkin ditafsir sebagai jaminan kerajaan bahawa LPK mampu menjelaskan hutang pada masa yang ditetapkan.

19. Kadar sewa PKFZ yang sebenarnya hanya 14%, pendapatan ini gagal mengimbangi perbelanjaannya dalam operasi.

20. PKFZ Sdn Bhd telah mengalami kerugian sebermulanya, dan fund pemegang sahamnya telah menjadi nilai negatif pada akhir September tahun 2008.

Laporan harus diumumkan
KDSB sebagai anak syarikat milik sepenuh Wijaya Baru Holdings Sdn Bhd (WBHSB) adalah kontraktor utama dalam projek PKFZ.  Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional, Tiong King Sing (gambar kiri) adalah pemegang saham terbesar WBHSB dengan 70% saham dalam genggamannya.  KDSB ditubuhkan pada 22 April 1994, dengan tujuan utamanya--PKFZ.

Bagaimanapun, setelah Super Task Force yang ditubuhkan kabinet mengambil alih tugas siasatan, tiada kesimpulan dibuat terhadap siasatan yang dilakukan Kementerian Pengangkutan, malah tiada tindakan susulan.  

Ong Tee Keat berkata, Super Task Force ini telah menyiapkan siasatan dalam masa enam bulan, tetapi laporannya tidak dibentangkan dalam mesyuarat kabinet sehingga 1 Jun 2010, dedah Ong Tee Keat yang tersingkir dari kabinet pada tarikh tersebut.

"Seandainya siasatan telah disiapkan, maka mereka (Super Task Force) harus mengumumkan hasilnya.  Rakyat perlu tahu perkembangan siasatan ini.  Selain itu, sekiranya hasil siasatan telah diperolehi, siapa pula yang perlu bertanggungjawab?  20 penyelewengan disenaraikan PWC, melibatkan orang kalau bukan wang.  Kerajaan tidak mengambil tindakan susulan, misalnya siapa yang harus didakwa (di mahkamah)," katanya.

Perdana Menteri Najib Abdul Razak (gambar kanan) mengumumkan penubuhan Super Task Force yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Mohamad Sidek Hassan untuk meneliti skandal PKFZ pada 9 September 2009.  

Antara skop yang dikaji termasuklah, pertama, adakah skandal ini melibatkan penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran undang-undang negara; kedua, good governance dan ketiga, halatuju pembangunan PKFZ pada masa depan.

Pada ketika itu, Najib mendakwa bahawa Super Task Force ini akan mempertimbangkan laporan daripada pasukan khas dan jawatankuasa yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan sebelum ini, namun tiada sebarang pengumuman atau tindakan susulan sehingga hari ini.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.

http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=10877

SKANDAL PKFZ: UMNO Selangor nafi terlibat

Thu, Aug 12, 2010
20090423151151_khir-toyo_62 Oleh Muda Mohd Noor
PETALING JAYA: Beberapa pemimpin kanan Umno Selangor menolak dakwaan nama mereka disebut-sebut sebagai pemimpin yang akan didakwa kerana terbabit dengan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Mereka mendakwa tidak tahu menahu dengan khabar angin tersebut.

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo berkata, "saya tidak tahu ada pemimpin Umno yang akan didakwa hari ini.

"Saya tidak terlibat dengan kes itu," kata ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor itu ketika dihubungi hari ini.

Timbalan Ketua Umno bahagian Kapar, Datuk Faizal Abdullah juga mendakwa tidak tahu menahu dengan khabar angin tersebut.

"Saya tidak tahu, itu kena tanya pejabat Peguam Negara," katanya.

Pada 29 Julai lalu, bekas menteri pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek ”Mega Distribution Hub” di Pelabuhan Klang.

Beliau juga didakwa menyembunyikan fakta berhubung penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan berhubung tanah seluas 43,538,200 kaki persegi yang dicadangkannya.

Projek PKFZ, yang dibina di kawasan seluas 405 hektar di Pulau Indah dekat Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, sebagai hab penghantaran kargo bersepadu telah menimbulkan kontroversi apabila kosnya melambung daripada RM2 bilion kepada RM4.6 bilion.

Ia mengandungi 256 hektar kawasan terbuka untuk kilang/gudang, 512 lot perindustrian ringan dan 500,000 kaki persegi ruang pejabat untuk sewaan, 135-bilik hotel dan sebuah pusat pameran

Sunday, August 1, 2010

Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa di dalam ceramahnya malam tadi di Dewan Beng Sean Seah berkata bahawa pendakwaan salah guna kuasa keatas Tun Dr. Ling Liong Sik berkaitan  skandal Zon Bebas Port Klang (PKFZ) adalah merupakan satu tindakan yang terpaksa dilakukan kerana kerajaan BN hari ini tidak lagi mampu merahsiakan  skandal tersebut.

Walaupun pihak pembangkang telah membuat bising dan menekan kerajaan mengenai perkara ini sejak empat tahun lepas, kerajaan dikatakan tidak mengambil apa-apa tindakan, malah melabelkan pembangkang sebagai anti-nasionalis. Namun, oleh kerana sukar lagi menyimpan rahsia, mereka terpaksa mengambil tindakan.

Katanya, “MCA telah memanggil kami penipu dan menuduh kami mereka-rekakan cerita yang tidak wujud.”

“Di dalam negara ini, orang yang kaya raya boleh buat apa saja. Mereka boleh sampai ke peringkat membunuh seseorang dan terlepas begitu saja”, katanya lagi di hadapan lebih 400 hadirin yang menghadiri ceramahnya di Bagan Serai walaupun keadaan hujan yang sangat lebat.

Pakatan Rakyat (PR) telah mengkritik kerajaan kerana gagal membawa ‘jerung besar’ di dalam skandal PKFZ yang bergantung kepada jaminan bon yang mampu menyebabkan kos projek itu mencecah RM12.5 bilion.

PKFZ telah dimodelkan bersempena dengan kejayaan zon bebas yang terkenal di Dubai iaitu Zon Bebas Jebel Ali tetapi PKFZ sehingga kini gagal menarik banyak pelaburan dan perniagaan yang cukup.

KLToday.com

Friday, July 30, 2010

Sepatutnya sesebuah projek yang dibangunkan secara berperingkat-peringkat atau fasa demi fasa. bukan sekali gus.

PKFZ: Tun Dr Ling Liong Sik Beri Keterangan Kepada PAC

KUALA LUMPUR, 15 Julai 2010 (Bernama) -- Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik Rabu dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memberi penjelasan berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Pengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid dalam sidang akhbarnya berkata bekas menteri itu dipanggil ekoran penglibatannya dalam cadangan awal pembangunan PKFZ.

"Beliau memberi kerjasama penuh dan menerangkan semua maklumat dari kaca matanya sebagai Menteri Pengangkutan ketika itu. Kita juga mendapatkan pandangan beliau dan turut bertanya beberapa soalan berkaitan pembangunan PKFZ ketika menjadi menteri.

"Beliau cuba menjawab semua (soalan) tapi ada bahagian yang dia kurang ingat sebab dah lebih 10 tahun. Cadangan ini (pembangunan PKFZ) sebelum tahun 1999. Dr Ling berada dalam kementerian sebagai menteri pada peringkat awal PKFZ ini dicadangkan. Beliau tidak berada (tidak menjadi menteri) ketika kawasan itu dibangunkan," katanya selepas bermesyuarat selama tiga jam di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Azmi ketika diminta mendedahkan soalan-soalan yang ditanya kepada Dr Ling berkata ia hanya akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat selepas semua hasil laporan mengenai PKFZ siap sepenuhnya Oktober ini.

Menyentuh mengenai surat sokongan cadangan pembangunan PKFZ yang ditandatangani Dr Ling, beliau berkata: "Mengikut keterangannya, surat itu dibuat atas cadangan oleh pentadbiran iaitu Ketua Setiausaha (KSU) dengan mendapat nasihat penasihat undang-undang dalam kementerian."

"Sebenarnya surat itu tidak bermakna jaminan. Tidak ada implikasi kewangan kepada kerajaan," katanya.

Kepada satu soalan sama ada Dr Ling akan dipanggil semula untuk memberi keterangan, Azmi berkata beliau (Dr Ling) kemungkinan tidak akan dipanggil semula melainkan sekiranya PAC mempunyai soalan khusus untuk diberikan penjelasan.

Dr Ling menyandang jawatan menteri pengangkutan dari 1986 hingga 2003 sebelum diambil alih oleh Tan Sri Chan Kong Choy dari 1 Julai 2003 hingga 18 Mac tahun lepas. Chan kemudian diganti oleh Datuk Seri Ong Tee Keat.

Azmi berkata antara isu yang sering dibangkitkan oleh kalangan anggota PAC ketika bermesyuarat ialah mengenai proses pengambilan tanah, mengenai bon yang bukan jaminan kerajaan serta pembangunan PKFZ yang dibuat secara menyeluruh dan tidak secara berperingkat seperti lazimnya.

"Sebenarnya sesebuah projek yang dibangunkan, sepatutnya dan sewajarnya dibangunkan secara berperingkat-peringkat atau fasa demi fasa. Macam contoh pemaju. Semua pemaju membangunkan kawasan mengikut fasa. Dia (pemaju) buat satu fasa kemudian dia jual atau disewakan.

"Dalam konteks PKFZ ini, pembangunan di situ siap dibina sekaligus dan menelan belanja yang begitu banyak. Pada akhirnya kita (PAC) dapati walaupun siap, hanya 14 peratus yang boleh disewakan (dan) yang lain tidak," katanya.

Azmi berkata pembangunan PKFZ yang menelan banyak belanja tanpa pulangan hasil yang memuaskan menyebabkan LPK kini dalam usaha mencari pelanggan untuk memasuki kawasan berkenaan.

Antara syarikat yang melabur di PKFZ ialah Aker Kvaerner dari Norway, Score Asia, Azron Wallsystem, Veheng Auto Link (Asia), Nova Logistics, Biodiesel SP dan Oriental SP.

PKFZ, sebuah hab pengangkutan yang dibina di kawasan seluas 405 hektar di Pelabuhan Klang, yang turut menempatkan gudang, blok pejabat dan sebuah hotel empat bintang, mencetuskan kontroversi apabila timbulnya pendedahan bahawa kos pembangunannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membeli tanah PKFZ seluas 1,000 ekar di Pulau Indah daripada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) pada 2002 dengan harga RM25 sekaki persegi. KDSB kemudian dilantik sebagai pemaju bagi projek siap guna itu.

Isu itu melibatkan kepentingan awam kerana PKA memperoleh pinjaman RM4.632 bilion dengan kadar faedah rendah dari Kementerian Kewangan bagi membiayai projek berkenaan.

Esok, Ong dijangka memberi keterangan kepada PAC diikuti oleh Chan pada minggu depan.

Azmi berkata PAC kini mempunyai senarai mereka yang akan dipanggil untuk memberi penjelasan termasuk bekas KSU dan timbalan KSU Kementerian Pengangkutan serta bekas pengerusi LPK dan pegawai-pegawai yang mewakili Kementerian Kewangan.



-- BERNAMA

PEMIMPIN-PEMIMPIN BN BERSUBAHAT MENYELEWENGKAN DUIT KERAJAAN SEBANYAK RM993 JUTA!

Sehingga hari ini kerajaan belum memberikan sebarang penjelasan tentang status Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan bertanggungjawab di atas pertambahan kos yang berjumlah RM 3.5 bilion. 

Untuk menutup kerugian projek yang gagal ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa ia akan melanjutkan pinjaman berjumlah sehingga RM4.681 bilion bermula dari tarikh yang lebih awal. 

Kes ini merupakan salah satu daripada begitu banyak contoh yang mendedahkan percanggahan kepentingan, rasuah dan salahtadbir melibatkan ahli politik, tokoh korporat dan pegawai kerajaan. 

Meskipun Perdana Menteri dan Kabinet sudahpun mengeluarkan arahan, Ketua Setiausaha Negara masih lagi tidak memberi penjelasan yang mencukupi. Tidak ada seorang pun yang telah dipertanggungjawabkan untuk skandal ini. 

Meskipun aspek kewangan projek ini sukar diselamatkan, sebuah audit yang bebas dan telus akan memastikan pihak yang mencabuli amanah di dalam kes ini dipertanggungjawabkan dan memulihkan kredibiliti Kementerian Pengangkutan. 

Pengambilan Tanah
Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membeli 1000 ekar tanah Pulau Indah dari Kuala Dimensi Sdn. Berhad pada harga RM25 sekaki persegi untuk sejumlah RM1.8 billion (termasuk faedah). 

Kuala Dimensi membuat keuntungan sebanyak RM993 juta kerana ia telah membelinya dari Koperasi Kemajuan Pulau Lumut dengan harga RM95 juta (pada RM3 sekaki persegi) sahaja

Urusniaga yang cukup lumayan ini melibatkan pimpinan UMNO dan MCA termasuk Pengerusi Tetap UMNO sekarang, Tan Sri Dato Seri Haji Onn Ismail; Bendahari UMNO, Dato Seri Azim bin Mohamed Zabidi; Dato Chor Chee Heung daripada MCA yang merupakan Pengerusi LPK dan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Dato Seri Tiong King Sing, Ahli Parlimen BN untuk Bintulu serta rakan-rakan mereka. 

Jelas sekali pihak utama yang rugi dari penjualan tanah ini ialah ahli Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Bhd. 

Justeru, janji politik untuk memelihara orang miskin dan membantu orang Melayu tidak kesampaian dan sebagai gantinya kelompok kecil yang rapat dengan kerajaan terus mengumpul kekayaan. 

Amat aneh sekali Menteri Pengangkutan pada waktu itu menolak pandangan Peguam Negara bahawa tanah tersebut boleh diambil untuk tujuan awam di bawah Akta Pengambilan tanah pada harga RM10 sekaki persegi

Sebaliknya Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Klang memilih pembelian tanah tersebut dengan cara biasa pada harga RM25 sekaki persegi. Kini telah diketahui bahawa persetujuan ini dicapai pada tahun 2002 antara Kementerian Pengangkutan, LPK dan Kuala Dimensi. 

Pemberian Kontrak
Saya merasakan agak aneh bahawa LPK melantik pula  Kuala Dimensi Sdn. Bhd., pihak yang menjual tanah tersebut, sebagai kontraktor turnkey untuk projek Zon Bebas Pelabuhan Klang menerusi Perjanjian Pembangunan Tanah bertarikh 27 Februari 2003. 

Kuala Dimensi Sdn. Bhd kemudian melantik Wijaya Baru Sdn. Bhd. sebagai subkontraktor utama. Syarikat ini sama ada dimiliki atau dikuasai Dato Seri Tiong King Sing dan Dato Abdul Azim bin Mohd Zabidi sebagai Pengarah Kuala Dimensi Sdn. Bhd. 

Nyata sekali wujud ketidaktelusan di dalam prosedur pemberian kontrak oleh LPK dan Kementerian Pengangkutan. 

Kesalahan Besar Prosedur Kewangan dan Salahguna Kuasa
Di dalam rekod awam telah dinyatakan bahawa bekas Menteri Pengangkutan, Tun Ling Liong Sik, memberi jaminan kepada kerajaan bahawa projek Zon Bebas Pelabuhan Klang ini mampu berjaya akan mempunyai pembiayaan sendiri dan tidak memerlukan dana kerajaan. 

Kalau begitu mengapa timbul keperluan memberikan pinjaman mudah bernilai RM4.6 bilion kepada LPK? Bukankah ini satu lagi bukti kemelut yang melanda pentadbiran hari ini? 

Menteri Pengangkutan merasakan wajar untuk memberikan empat (4) Surat Sokongan untuk pengatur utama pengisuan bon. Tun Dr. Ling Liong Sik mengeluarkan satu surat bertarikh 28 Mei 2003 dan tiga lagi dikeluarkan oleh Menteri kini, Datuk Seri Chan Kong Choy bertarikh 23 April 2004, 8 Disember 2005 dan 23 Mei 2006. 

Surat-surat ini memberikan komitmen Kerajaan sebagai penjamin untuk apa-apa liabiliti yang dipikul oleh LPK untuk projek Zon Bebas Pelabuhan Klang. 

Telah terbukti bahawa surat-surat ini merupakan jaminan kerana ia mengandungi perkataan yang bermaksud "kami akan pada setiap masa di masa hadapan memastikan LPK berada di dalam kedudukan untuk memenuhi (dan memenuhinya dengan sepenuhnya pada masa yang sepatutnya) liabiliti mereka di dalam jumlah pembayaran semula selagi mana jumlah pembayaran semula masih lagi tidak dilangsaikan"

Menurut polisi kerajaan yang biasa, Kementerian Kewangan merupakan satu-satu agensi kerajaan yang boleh mengeluarkan apa-apa bentuk jaminan bagi kerajaan dan ini mestilah mendapat kelulusan Kabinet. 

Pemberian Surat Sokongan bercanggah dengan peraturan dan prosedur kerajaan. Ketika saya menjawat Menteri Kewangan, perkara sebegini tidak pernah dibenarkan berlaku. Apa yang lebih dasyat ialah Pembedaharaan tidak sedar tentang surat-surat ini sehinggalah mereka dimaklumkan oleh pengatur utama pada Disember 2006. 

Berdasarkan keterangan di atas, wujud asas yang kukuh bahawa Tun Dr. Ling Liong Sik dan Datuk Seri Chan Kong Choy terlibat di dalam sesuatu yang tidak betul di dalam mengeluarkan surat sokongan yang mengakibatkan kerajaan terpaksa menyelamatkan LPK dengan memberikan kelebihan yang luarbiasa kepada beberapa pihak. 

Pihak-pihak terbabit juga disokong oleh kehadiran pimpinan UMNO di dalamnya. 

Desakan Untuk Siasatan Menyeluruh dan Bebas
Saya mesti menyatakan bahawa saya terkejut dengan sikap tidak endah pentadbiran Abdullah di dalam salahtadbir projek awam dan prinsip-prinsip pentadbiran yang baik di samping kegagalan pegawai awam di dalam menguruskan projek-projek negara. 

Saya, dengan ini, mendesak siasatan audit siasatan menyeluruh dan bebas oleh firma audit professional terhadap projek Zon Bebas Pelabuhan Klang. 

Audit ini sewajarnya menentukan tahap liabiliti kerajaan, mendedahkan kelemahan yang sedia ada di dalam sistem kawalan kewangan dan perakaunan, dan menentukan sama ada wujud bukti kesalahan kewangan, salahlaku ataupun rasuah. 

Saya juga mencadangkan agar kerajaan mendedahkan semua rekod berkaitan perkara ini kepada orang awam bersama laporan audit selepas ia dibentangkan di Parlimen. 

Saya ingin mengulangi desakan saya sebelum ini agar sebuah Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan dan juga mendesak BPR dan badan-badan berkaitan lain untuk bertindak dan menyiasat sepenuhnya skandal ini.-

PKFZ: 2 Bekas PM Perlu diheret masuk – Ling Liong Sik

Kedua-dua bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi diheret ke dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), apabila mereka didakwa mengetahui apa yang berlaku dalam projek tersebut.

Pendedahan ini dilakukan oleh bekas Menteri Pengangkutan, Ling Liong Sik dan bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), OC Phang ketika menghadap prosiding yang dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC), menurut laporan PAC terhadap projek pembangunan PKFZ.

Ling menyebut nama Mahathir
Menurut laporan prosiding pada 15 Julai 2009, Ling Liong Sik memaklumkan bahawa kos tanah dan kuasa menentukan nilai tanah tidak berada dalam bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, tetapi Pada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Valuation and Property Services Department) di bawah Kementerian Kewangan.

“Saya ingat, kami melalui banyak perbincangan berhubung harga tanah ini.  Saya amat jelas dengan ini.  Saya memberitahu kepada kabinet banyak kali, kami di Kementerian Pengangkutan hanya untuk menyatakan bahawa kami mahu tanah itu,” jelasnya.

Mantan Menteri Pengangkutan ini menyambung,”berhubung dengan kos, penilaian harga, itu bukan fungsi Kementerian Pengangkutan.  Kami tidak mempunyai Jabatan Penilaian.  Kos dan penilaian adalah masalah yang perlu diselesaikan oleh Kementerian Kewangan.  Mereka mempunyai Jabatan Penilaian, kesemuanya diuruskan di sana, bukannya di Kementerian Pengangkutan.”

Malah, Ling Liong Sik (gambar kanan) terus menyebut nama bekas PM Mahathir Mohamad, selaku Menteri Kewangan dan orang yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

Ling berkata, “saya rasa Mahathir yang mempengerusikannya (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta), pada masa yang sama juga seorang Menteri Kewangan.  Beliau sangat jelas keadaannya.  Ini kenyataan dalam kes ini.” (I think Tun Dr. Mahathir who chaired it, and he was the finance minister also. He saw it very clearly. That was the facts of the case.)

Menurut laporan PAC, seandainya tanah PKFZ dibeli dengan Akta Pengambilan Tanah 1960, maka projek ini akan menjimatkan RM645.87 juta.  Bertitik tolak daripada itu, kos PKFZ (tidak termasuk faedah) seharusnya berjumlah RM442.13 juta, dan bukannya RM1.088 bilion.  Pada masa yang sama, laporan juga menunjukkan bahawa tanah itu ditukar tangan dengan RM47.76 sekaki persegi, 67% lebih tinggi daripada anggaran Jabatan Penilaian.

OC Phang menuding jari kepada Abdullah, Chan
Selain itu, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), OC Phang ketika menghadiri prosiding PAC pada 2 September 2009, memaklumkan bahawa bekas PM Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Menteri Pengangkutan, Chan Kong Choy yang meluluskan agar PKFZ dibangunkan dengan hanya satu fasa (Single Phase).  Sementara pembelian tanah itu dijalankan di bawah arahan Ling Liong Sik.

PC Phang berkata, Abdullah dan Chan Kong Choy (gambar kanan) memberi arahan sedemikian (membangun dengan Single Phase) kepada LPK setelah dicadangkan oleh Jebel Ali Free Zone International (Jafza).

Menurut OC Phang, PKFZ dibangunkan dengan dua fasa mengikut rancangan asal.  Fasa pertama melibatkan tanah seluas 500 ekar.  Tugas asal LPK adalah untuk membangunkan tanah yang seluas 500 ekar ini, disusuli dengan fasa kedua kemudiannya.  Namun, PM dan Menteri Pengangkutan pada ketika itu (Abdullah dan Chan) memberi arahan kepada LPK pada 3 Mac 2004, membangunkan 1000 ekar tanah sekaligus mengikut cadangan Jafza.

OC Phang: Saya amat gusat
Selain itu, PC Phang berkata kesemua kementerian yang terlibat mengetahui hal ini, malah kabinet telah meluluskan untuk membeli 1000 ekar tanah secara “willing sell willing buy” dengan Kuala Dimensi Sdn Bhd.

“Kerajaan mengetahui segala-gala ini.  Kementerian Pengangkutan tahu, Kementerian Kewangan tahu, agensi pusat… Saya amat gusar (I ‘ m quite annoyed),  kes pembelian tanah ini ditujukan kepada saya.  Saya menganggap saya mempunyai hak untuk gusar…”

Sebagaimana yang diketahui, Kementerian Kewangan pernah mengarahkan agar tanah ini dibeli dengan Akta Pengambilan Tanah, agar harganya lebih murah.  Tetapi LPK pula membeli dengan harga RM25 sekaki persegi, harga satu kali ganda lebih tinggi daripada KDSB.

OC Phang menjelaskan, LPK menjalankan pembelian ini setelah menerima surat arahan daripada Ling Liong Sik.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Pendakwaan Liong Sik bukti wujud penyelewengan



http://idrisahmad.wordpress.com   
Pendakwaan Tun Dr Ling Liong Sik yang juga bekas Presiden MCA merangkap menteri kanan di zaman pemerintahan Mahathir membuktikan bahawa dakwaan Pakatan selama ini berhubung wujudnya penyelewengan dalam skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) adalah benar.

Liong Sik yang juga mantan Menteri Pengangkutan bertanggungjawab bagi mempengaruhi keputusan Kerajaan bagi pembelian tanah seluas 999.5 ekar bernilai RM1,088,456,000.00 di Pulau Indah.

PAS yakin bahawa ramai lagi pihak yang terlibat dalam penyelewengan ini dan Liong Sik hanyalah kambing hitam bagi menunjukan lakonan ‘kejujuran’ Kerajaan BN hari ini bagi menutup kes PKFZ.

PAS juga curiga dengan kenyataan Menteri Pengangkutan yang baru, Datuk Seri Kong Cho Ha yang mengatakan bahawa siasatan ke atas skandal PKFZ adalah “mencukupi” dan tidak perlu bagi isu itu disemak semula.

Malah kenyataan Cho Ha yang membenarkan pembayaran semula bon bernilai RM228 juta juga bercanggah dengan keadaan semasa dimana kes penyelewengan PKFZ masih dalam perbicaraan mahkamah.

Malah kerajaan akan melakukan kesilapan kedua jika melunaskan bayaran bon itu kerana syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang merupakan kontraktor utama PKFZ, yang mengeluarkan bon tersebut telah dheret ke mahkamah oleh Pihak Berkuasa Zon Bebas (PKA) kerana membuat tuntutan berlebihan dan tidak menyiapkan kerja mereka seperti yang dijanjikan.

Kegagalan KDSB yang dimiliki oleh jutawan Datuk Tiong King Sing yang juga ahli parlimen BN menambahkan lagi kekusutan skandal PKFZ kerana sekaligus ia menyambung siri penyelewengan keatas projek berkenaan.

Ini menunjukan PKFZ merupakan sebuah projek khas bagi menyara pemimpin BN dan kroni mereka bermula dengan menipu untuk membeli tapak, kemudian menipu dalam proses perancangan dan penyediaan pelan serta menipu dalam proses pembinaan.

Bayangkanlah kerugian besar wang rakyat dalam projek ini yang pada asalnya dilaporkan hanya berjumlah RM RM1.957 bilion tetapi akhirnya didakwa meningkat kepada RM4.947 bilion, lebih dari dua kali ganda.

PAS mengesa agar kes ini terus dibuka untuk siasatan dan kerajaan tidak perlu membuat apa-apa bayaran lagi kepada mana-mana pihak yang terlibat selagi kes ini tidak diselesaikan di Mahkamah.

Kes ini baru bermula dan Menteri Pengangkutan yang baru tidak berhak untuk menutup kes ini begitu sahaja melainkan jika beliau juga mempunyai kepentingan atau mahu menyelamatkan maruah BN.

PAS berharap rakyat membuka mata kerana pemimpin BN akan terus melakukan penipuan sebegini. Apa sahaja projek mega yang diumumkan mereka pasti ada ketirisan wang rakyat.

PAS juga berharap rakyat membuka mata kerana kes yang sama tidak mustahil akan berlaku termasuklah dalam kes pembangunan semula kampung Baru, Kuala Lumpur yang diwar-warkan kerajaan akhir-akhir ini.

Kerajaan sudah mengumumkan mahu membeli tanah-tanah penduduk dengan harga yang sangat murah sekitar RM 250-RM 300 sekaki persegi. Tetapi selepas itu mahu mengeluarkan bon projek bernilai tinggi yang kemudiannya projek itu akan dibangunkan oleh kroni mereka di dalam GABEM (Biro Ekonomi Umno) dan seterusnya disewa gadaikan kepada pihak ketiga dengan harga lebih 3 kali ganda dari nilai yang dibayar kepada penduduk.

Sebelum satu lagi fail skandal dibuka, PAS mengingatkan rakyat supaya menukar Kerajaan dalam pilihan raya akan datang demi kebaikan mereka dan menyelamatkan wang negara.

Ustaz Idris Ahmad,
Ketua Penerangan PAS Pusat.